Manjung Palliative Care Association Charity

MPCS Alu-alukan khidmat jururawat, sumbangan awam bantu tingkat rawatan paliatif

LUMUT, 30 April (Bernama) Pertubuhan Rawatan Paliatif Manjung (MPCS) mengalu-alukan jururawat terlatih untuk bersama-sama mereka memberikan perkhidmatan rawatan paliatif kepada pesakit dan keluarga pesakit yang memerlukan.

Presiden MPCS Dr Lee Li Yuan berkata ketika ini jururawat pakar dalam perkhidmatan rawatan itu sangat diperlukan rakyat termasuk di MPCS berikutan kadar penghidap pesakit kronik semakin meningkat terutama pesakit kanser.

“Ketika ini kami mempunyai dua jururawat paliatif yang akan melawat rumah ke rumah bagi memberi rawatan dan memberi khidmat nasihat kepada waris keluarga pesakit kanser tahap akhir di sekitar Manjung,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Kutipan Dana untuk MPCS di sini, yang turut dihadiri Bendahari MPCS Ding Mei Looi.

Dr Lee berkata MPCS yang beroperasi sejak 2016 menyediakan perkhidmatan rawatan paliatif secara percuma dan setakat ini telah memberikan khidmat rawatan kepada kira-kira 600 pesakit yang sebahagian besarnya telah meninggal dunia.

Beliau berkata pada masa ini terdapat kira-kira 50 pesakit kanser yang mendapat rawatan dengan MPCS dari sekitar Manjung dan kawasan berhampiran.

“Kami tahu terdapat ramai lagi waris pesakit yang memerlukan khidmat nasihat rawatan kepada ahli kelaurga yang menghidap kanser tahap akhir dan sukacitanya kami sedia memberikan perkhidmatan kepada semua tidak kira bangsa,” katanya.

Sementara itu, Ding berkata MPCS yang kini menyewa sebuah bangunan memerlukan bangunan sendiri yang lebih selesa untuk beroperasi dan membeli peralatan untuk rawatan termasuk tangki oksigen.

“Kami amat memerlukan sokongan orang ramai dan ia akan dikembalikan untuk memberi khidmat percuma kepada yang memerlukan di sekitar Manjung khasnya, kepada keluarga yang mempunyai ahli memerlukan rawatan paliatif, mereka boleh datang ke MPCS,” katanya.

Beliau berkata kira-kira RM600,000 berjaya dikutip pada majlis makan malam itu yang diadakan pada Ahad lepas.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penjagaan paliatif adalah pendekatan perubatan bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit dan keluarga mereka yang berdepan penyakit kronik dengan mengatasi dan mengurangkan penderitaan, sama ada melalui rawatan fizikal, psikososial atau spiritual.

Sumber maklumat: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2292729
— BERNAMA

 

Similar Posts