News Articles BERITA HARIAN – Martyn, Esther juara triathlon Festival Multisukan Perak
LUMUT: Dua triatlet utama negara, Martyn Lim dan Esther Joy Chen, menampilkan prestasi cemerlang apabila muncul juara kategori elit Sprint Kejohanan Persekutuan Triatlon Asia Tenggara (SEA) sempena Festival Multisukan Perak di Marina Island Pangkor Resort & Hotel di sini, hari ini.
Martyn yang sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima tahun lalu, menebus kekecewaan itu dengan catatan masa 1 jam 3 minit 57 saat (1:03:57) untuk mengungguli perlumbaan lelaki yang menggabungkan disiplin renang 750 meter (m), berbasikal 20 kilometer (km) dan larian 5km.
Dia mengetepikan cabaran rakan senegara, Rikigoro Shinozuka yang meraih perak dengan masa 1:05:25, manakala wakil Singapura, Russel Lee, menduduki tempat ketiga dengan catatan 1:06:10.
“Saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana tahu saya perlu cemerlang dalam disiplin renang. Mujur saya berjaya kekal bersaing rapat, dan apabila masuk kayuhan, saya mula mendapat rentak dan berjaya mencipta jurang semasa berlari,” katanya.
Menurut Martyn, pengalamannya bertanding di lokasi sama turut memainkan peranan penting dalam kejayaannya kali ini.
“Saya tahu bila masa sesuai untuk membuat pecutan dan bila perlu simpan tenaga. Ia sangat membantu dalam mengatur strategi perlumbaan,” katanya.
Kejohanan ini turut menjadi medan terakhir pemilihan atlet ke temasya Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini dan Martyn berharap prestasinya cukup meyakinkan untuk disenaraikan dalam skuad negara.
Dalam saingan elit wanita, Esther pula mencatat masa 1:10:25, mengatasi dua wakil Singapura, Lim Wan Ting (1:12:48) dan Regine Goh (1:15:07) sekali gus memperbaiki pencapaian tempat kedua yang diraihnya tahun lalu.
“Kemenangan ini bukan bergantung kepada kelajuan semata-mata, sebaliknya bagaimana saya mengurus keseluruhan perlumbaan. Saya lebih fokus kepada strategi, terutama semasa berenang dan berbasikal,” katanya.
Esther sebelum ini turut merangkul gelaran juara kebangsaan di Putrajaya awal tahun ini dan berharap dapat diberi peluang mewakili negara di Sukan SEA, biarpun sebelum ini lebih menumpukan kepada acara duatlon.
Festival Multisukan Perak yang memasuki edisi keenam tahun ini menyaksikan lebih 1,000 peserta dari lebih 20 negara mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung dua hari itu.