|
Harian Metro
Release : June 1, 2006
Perak bakal mempunyai satu lagi
destinasi terbaru pelancongan apabila sebuah 'kota terapung'
dikenali Marina Island Pangkor bernilai RM 1 billion dibina
di Teluk Muroh, Lumut.
Projek yang terletak di Manjung itu
dimulakan sejak 2003 dengan perlaksanaan kerja penambakan
laut bagi membina sebuah pulau buatan yang bertentangan
dengan Pulau Pangkor.
Pembinaan mercu tanda baru itu
dijalankan dengan kerjasama Marina Island Development Sdn
Bhd (MIDSB) dan Marina Sanctuary Resort Sdn Bhd (MSRSB).
Pengarah Urusan MIDSB, Dato' Ali Bagas
Abdullah berkata, fasa pertama projek itu membabitkan
pembinaan bangunan komersial dan kediaman dimulakan pada Mac
lalu serta dibangunkan dengan konsep gabungan ala Belanda
dan tempatan.
Beliau berkata, kawasan itu unik
kerana menggabungkan elemen komersial, kediaman dan
pelancongan.
Katanya, Marina Island Pangkor bakal
berperanan sebagai sebuah pelabuhan kapal persisiran yang
petama di Asia Pasifik.
"Sebuah jeti bertaraf antarabangsa
turut dibina bagi kemudahan kapal persiaran berlabuh di
samping sebuah jeti domestik bagi kemudahan orang ramai
berkunjung ke Pulau Pangkor," katanya.
Menurutnya, jeti itu bakal memendekkan
perjalanan kurang dari 10 minit berbanding 30 hingga 45
minit menggunakan feri di jeti Awam Lumut.
"Gabungan konsep ala Belanda dan
tempatan dipilih bertujuan menarik kedatangan pelancong
asing ke Perak, tambahan pula kawasan itu masih kaya dengan
kesan peninggalan bekas jajahan kerajaan Belanda, sedikit
masa dahulu.
"Syarikat juga akan membina bangunan
bercirikan Belanda di samping beberapa kincir angin di taman
permainan, pintu masuk utama dan jeti," katanya.
Pengarah Urusan MSRSB, Dato' Ding Poi
Chung berkata, sebgai sebuah marina bertaraf dunia, Marina
Island Pangkor menyediakan kediaman, kemudahan perniagaan,
rumah kedai, akademi pelayaran, hotel, pusat beli-belah dan
pusat komersial.
Katanya, syarikat akan menubuhkan
kelab marina selain taman tema yang bakal menjadi tarikan
baru pelancong ke Daerah Manjung.
Beliau berkata, pembangunan
keseluruhan Marina Island Pangkor bertumpu kepada pembinaan
dua pulau buatan terletak 400 meter daripada pantai.
"Pulau itu dihubungkan dengan daratan
menerusi pembinaan sebuah jambatan sepanjang 150 meter." |