|
Release : May, 2006
Bagaikan kota terapung, kewujudan
Marina Island Pangkor di Teluk Muroh bernilai RM 1 billion,
bakal menyajikan landskap baru kepada Daerah Manjung,
destinasi yang sememangnya unggul dengan pelbagai produk
pelancongan
Kerja-kerja penambakan laut untuk
pembinaan pulau buatan itu sudah bermula sejak tahun 2003,
manakala fasa pertama projek pembinaan bangunan komersial
dan kediaman sudah bermula Mac lalu dan mengikut perancangan,
pembangunan kawasan pulau seluas 128.3 hektar berkenaan
dijangka siap sepenuhnya dalam masa 10 hingga 15 tahun.
Pengarah Urusan Marina Island
Development Sdn Bhd, Dato' Ding Poi Chung berkata, konsep
pembangunan bercampur akan menjadikan Marina Island Pangkor
sebagai kawasan pertumbuhan baru yang unik yang
menggabungkan elemen komersial, kediaman dan pelancongan.
"Marina Island Pangkor juga akan
berfungsi sebagai pelabuhan kapal pesiaran yang pertama di
Asia Pasifik. Sebuah jeti antarabangsa bagi kemudahan
kapal-kapal pesiaran berlabuh akan dibina selain sebuah jeti
domestik bagi kemudahan orang ramai berulang alik ke Pulau
Pangkor. Jeti tersebut akan memendekkan perjalanan kurang
dari 10 minit berbanding 20 minit menggunakan jeti di Lumut,"
katanya.
Marina Island Development Sdn Bhd
sebagai pemaju projek berkenaan, kata Dato' Ding lagi akan
menggabungkan ciri-ciri rekabentuk ala Belanda dan tempatan
dalam konsep pembangunan Marina Island Pangkor.
Beliau menjelaskan, sebagai sebuah
marina bertaraf dunia, Marina Island Pangkor akan
menyediakan rumah kediaman, kemudahan perniagaan, rumah
kedai, akademi pelayaran, hotel, pusat beli-belah dan pusat
komersial.
"Kita juga akan sediakan marina club
selain menjadi taman tema yang bakal menjadi tarikan baru
pelancong," ujar Dato' Ding.
Katanya lagi, pembangunan keseluruhan
Marina Island Pangkor akan menumpukan kepada pembinaan dua
buah pulau buatan yang terletak 400 meter dari luar pantai
yang akan disambung ke tanah besar oleh jambatan sepanjang
150 meter.
"Marina Island Pangkor bukan sahaja
akan menjadi mercu tanda baru di Manjung, bahkan akan
meletakkan Perak, khususnya Lumut sebagai destinasi
persinggahan kapal-kapal pesiaran dari seluruh dunia," ujar
Dato' Ding.
KOMBINASI SENI BINA BELANDA -
MALAYSIA
Pemaju projek Marina Island Pangkor
memilih konsep pembangunan bercirikan ala-Belanda kerana
lokasinya terletak tidak jauh dari Pulau Pangkor yang
sememangnya terkenal dengan pengaruh Belanda, suatu ketika
dulu.
Pengurus Projek Marina Island Pangkor
Marina Island Development Sdn Bhd, BK Goh berkata, selain
membina bangunan bercirikan Belanda, beberapa kincir angin
akan dibina di taman permainan, selain pintu masuk utama dan
jeti bertujuan menguatkan lagi cita rasa Belanda di Marina
Island Pangkor.
"Marina Island Pangkor begitu istimewa
sekali, selain lokasi ianya turut dihiasi oleh teluk buatan
serta campuran seni bina Belanda dan Malaysia," ujarnya.
BK Goh juga menjelaskan bahawa Marina
Island Pangkor merupakan satu-satunya projek pembangunan di
atas tanah penambakan yang diberi status pegangan bebas di
negara ini. |