Marina Island Pangkor - A Malaysian Dream Island

Home | Contact Us | Sitemap | Email Login


Your Are Here > Home / Media / Press Released
MARINA RM 1 BILLION DI TELUK MUROH

Utusan Malaysia
Release : February 3, 2006

LUMUT 2 Feb. - Sebuah marina bernilai RM1 bilion yang berfungsi sebagai pelabuhan kapal persiaran pertama di Asia Pasifik, akan dibina di kawasan tambakan laut Teluk Muroh di sini oleh syarikat Marina Sanctuary Resort Sdn. Bhd.

Sebagai sebuah pelabuhan kapal persiaran ala Belanda, beberapa kincir angin dan bangunan berkonsepkan reka bentuk negara itu turut dibina bagi menghiasi kawasan pulau seluas 128.3 hektar itu.

Pengurus Projek Marina Sanctuary Resort Sdn. Bhd. (Marina Sanctuary Resort), BK Goh berkata, kerja-kerja penambakan laut untuk membina pulau buatan itu sudah bermula sejak tahun 2003 manakala projek pembinaan bangunan komersial dan kediaman akan dimulakan bulan ini.

Apabila siap dalam masa 10 hingga 15 tahun akan datang, pulau yang dinamakan Marina Island Pangkor ini akan mempunyai beberapa buah bangunan terdiri daripada pelbagai jenis rumah kediaman, kemudahan perniagaan, jeti, rumah kedai, akademi pelayaran, hotel, pusat membeli-belah dan pusat komersial.

"Turut dibina ialah sebuah jeti antarabangsa untuk kemudahan kapal-kapal persiaran berlabuh, kemudahan pertama seumpamanya di Asia Pasifik," katanya ketika ditemui semasa Pelancaran Awal Rumah Kedai di Marina Island Pangkor di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Marina Sanctuary Resort, Datuk Ding Poi Chung.

Menurut Goh, selain jeti antarabangsa, sebuah jeti domestik bagi memudahkan orang ramai berulang-alik ke Pulau Pangkor turut dibina.

Katanya, jeti itu akan memendekkan perjalanan kepada hanya 10 minit berbanding 20 minit menggunakan jeti di Lumut.

Pembangunan pulau ini akan memberi tumpuan kepada pembinaan dua buah pulau yang dihasilkan daripada penambakan laut.

"Dua buah pulau yang dibina 400 meter dari luar pantai itu disambung ke tanah besar oleh jambatan sepanjang 150 meter," katanya.

Goh memberitahu, pihaknya memilih konsep pembangunan bercirikan Belanda kerana lokasinya terletak tidak jauh dari Pulau Pangkor yang memang terkenal dengan pengaruh Belanda.

Selain membina bangunan berciri Belanda, Goh berkata, pihaknya turut meletakkan beberapa kincir angin di taman permainan, pintu masuk utama dan jeti bagi menguatkan lagi cita rasa Belanda di pulau tersebut.

Katanya, keistimewaan pulau itu juga terletak pada pemandangannya yang indah kerana ia turut dihiasi oleh teluk buatan serta campuran seni bina Malaysia.

Istimewanya, semua rumah kediaman dan bangunan komersial di sini dijual dengan status pegangan bebas.

Inilah kali pertama pembangunan di atas tanah penambakan diberi status pegangan bebas di negara ini.

"Orang ramai yang berminat membeli aset di pulau ini, boleh membuat tempahan mulai sekarang kerana jualan bagi 60 unit rumah kedai dalam fasa pertama sudah dibuka," katanya.